✔ Berdaftar dengan ROS sejak 1990 ✔ Layak Pengecualian Cukai (LHDN) ✔ 84 Asrama Anak Yatim Seluruh Malaysia
Program

Larian Langkah Kasih Anak Yatim 2026: Setiap Langkah Membawa Harapan

📍 Dataran DBKL, Kuala Lumpur 🔄 Dikemas kini
Larian Langkah Kasih Anak Yatim 2026: Setiap Langkah Membawa Harapan

KUALA LUMPUR, 20 September 2026 – Larian Langkah Kasih 2026 yang berlangsung di Dataran DBKL telah mencipta satu pengalaman yang cukup bermakna buat 1,000 anak-anak yatim yang hadir dari seluruh negara.

Bagi anak-anak ini, pengalaman berlari di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur merupakan satu kenangan yang sangat istimewa. Jalan-jalan utama yang selama ini mungkin hanya mereka lihat melalui gambar atau ketika dalam perjalanan, pada hari tersebut menjadi laluan yang mereka lalui sendiri dengan penuh kegembiraan dan semangat.

Keceriaan jelas terpancar apabila mereka dapat berlari, bergambar dan berinteraksi bersama masyarakat, peserta, penaja, sukarelawan dan wakil syarikat korporat. Mereka bukan sahaja pulang dengan kenangan indah, malah membawa bersama foto-foto yang boleh dikenang dan dikongsi bersama rakan-rakan di asrama.

Larian Langkah Kasih 2026 diadakan di Dataran DBKL bersempena dengan Kuala Lumpur Car Free Day, yang berlangsung setiap hari Ahad. Program ini memberi peluang kepada warga kota untuk beriadah, mengamalkan gaya hidup sihat dan menikmati suasana Kuala Lumpur.

PEYATIM amat berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kepada DBKL atas keizinan, kerjasama dan sokongan dalam menjayakan Larian Langkah Kasih 2026 bersama Kuala Lumpur Car Free Day. Kerjasama ini turut memberi peluang kepada anak-anak yatim untuk berlari dan beriadah bersama masyarakat di tengah-tengah ibu kota, menjadikan pengalaman mereka lebih bermakna.

Sesi flag-off pada jam 7.00 pagi telah disempurnakan oleh Presiden PEYATIM Malaysia, YM Prof. Dato’ Dr. Hj. Tengku Mahmud Mansor, bersama Datuk Haji Mohamad bin Mahmood, Pengerusi Program Langkah Kasih, serta wakil penaja daripada ZICO Trust, Tan Sri Datuk Seri (Dr.) Haji Mazlan bin Lazim dan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Naib-Naib Presiden PEYATIM, Setiausaha Agung PEYATIM, Dato’ Bedolah bin Botok, serta Timbalan Pengerusi Eksekutif 1 YAWATIM, Datuk Dr. Hj. Mazlan Ahmad, selain barisan kepimpinan, wakil ahli gabungan dan para petugas program.

Selain pengalaman berlari, anak-anak yatim turut menerima makanan dan minuman hasil sumbangan para penaja serta berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah dengan jumlah nilai lebih RM10,000.

Kegembiraan mereka jelas terpancar apabila disantuni oleh masyarakat yang hadir. Bagi mereka, pengalaman ini bukan sekadar sebuah acara larian, tetapi satu peluang untuk merasai semangat kebersamaan, perhatian dan kasih sayang daripada masyarakat.

Larian Langkah Kasih 2026 turut mencatatkan kehadiran sekitar 6,000 orang di Dataran DBKL, termasuk peserta, keluarga, penaja, rakan strategik, sukarelawan dan orang awam yang hadir memberikan sokongan.

Dengan penyertaan 1,000 anak-anak yatim, program ini menjadi antara acara fun run yang besar dari segi penyertaan anak-anak yatim, sekali gus memperlihatkan sokongan masyarakat yang begitu menggalakkan terhadap agenda kebajikan mereka.

Impak Kepada Komuniti

Larian Langkah Kasih 2026 memberi impak positif kepada masyarakat dengan menyantuni anak-anak yatim melalui penyertaan 28 rumah anak yatim dari seluruh negara, di samping menyatukan peserta, penaja, sukarelawan dan rakan strategik dalam satu program yang penuh dengan semangat kebersamaan. Program ini turut meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kebajikan anak-anak yatim, menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti larian, serta membina harapan untuk masa depan anak-anak yatim yang lebih baik.

Penghargaan Kepada Sukarelawan

PEYATIM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua tenaga sukarelawan yang telah memberikan masa, tenaga dan komitmen bagi memastikan perjalanan Larian Langkah Kasih 2026 berjalan dengan lancar.

Sokongan Penaja & Rakan Strategik

Kejayaan program ini turut didukung oleh penaja dan rakan strategik, antaranya ZICO Trust, Provident, CED, F&N, Nestlé, Pops Malaya, Cuckoo, Decathlon, Kolej Teknologi Bestari, University College Bestari, YAWATIM dan EduCourage.

Sokongan semua pihak membuktikan bahawa kebajikan anak-anak yatim adalah tanggungjawab bersama. Setiap sumbangan, penyertaan dan sokongan telah membantu mencipta satu pengalaman yang penuh makna buat mereka.

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja, rakan strategik, peserta, sukarelawan, agensi dan masyarakat yang telah bersama-sama menjadikan Larian Langkah Kasih 2026 satu kenangan yang indah dan bermakna buat anak-anak yatim.

Untuk Pertanyaan Media

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM)
Nama: Noryati Binti Ab Ghani
Telefon: 019 317 8895
E-mel: yatighani.peyatim@gmail.com

← Kembali ke semua media

Sertai Kami — Membina Masa Depan Anak-Anak Yatim

Daftar sebagai Sahabat PEYATIM, sukarelawan, penyumbang atau pewaqaf. Setiap huluran membina masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak yatim.

💚 Infaq Sekarang 📞