Tahun ini bermula dari 30 Mei 2015 hingga 3 Jun 2015, temasya terbesar PEYATIM iaitu Majlis Tilawah dan Nasyid (MTQN) kali ke 19 telah berlangsung di Politeknik Seberang Perai, Permatang Pauh Pulau Pinang. Temasya kali ini berlainan sedikit kerana buat julung-julung kalinya selain MTQN, satu Forum Perdana telah diadakan. MTQN kali ke 19 ini telah dirasmikan oleh wakil YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri iaitu YBhg. Dato’ Haji Razali bin Shahabuddin, Timbalan Ketua Pengarah JAKIM. Perasmian pembukaan MTQN menyaksikan kehadiran seramai 2,000 orang perserta, pemimpin-pemimpin dan juga pengiring telah berkesempatan hadir pada malam yang bersejarah tersebut.
TYT Tun Dato’ Seri Utama (DR.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Abbas dan YBhg. Toh Puan Datin Seri Hajah Majimor binti Shariff, telah meluangkan masa untuk bersama-sama anak-anak yatim dari seluruh negeri dalam satu program Forum Perdana yang diadakan pada 1 Jun 2015 di Dewan Utama Politeknik, Seberang Perai. Forum yang mengumpulkan penceramah-penceramah yang hebat ini membincangkan pengisianya berkenaan anak-anak yatim, bermula jam 8.30 malam dan berakhir pada 11.00 malam. Forum ini dianggap berjaya mengupas isu-isu berkenaan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan anak-anak yatim.
Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PEYATIM (MT) diadakan pada 31 Mei 2015 di Bilik Mesyuarat Persidangan, Politeknik Seberang Perai jam 8.30 malam. Mesyuarat MT selalunya akan diadakan satu hari sebelum berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan PEYATIM. Mesyuarat akan membincangkan agenda-agenda yang ditetapkan dan agenda yang telah dibincangkan akan dibawa dalam mesyuarat agung tahunan.
Mesyuarat Agung PEYATIM kali ke 25 dengan pemilihan juga berlangsung pada 1 Jun 2015 di Dewan Kuliah Utama, Politeknik Seberang Perai. Mesyuarat telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Seri Haji Farizan bin Haji Darus, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangkap Penasihat Bersama Majlis MTQN Kebangsaan kali ke 19, 2015.