Sertai Kami
Islam mengajar kita mengambil cakna terhadap anak yatim. Melihat keyatiman mereka dengan mata hati yang sarat dengan rasa simpati, empati, dan penuh rasa tanggungjawab untuk sesama umat Islam berganding menggalas tanggungjawab.
Beban tugas ini bukan sekadar memberi anak yatim makan tetapi melangkau kepada perlindungan keselamatan diri, harta dan lebih jauh dari itu mendidik mereka dengan adab dan ilmu yang memampukan anak yatim mengurus diri, meneroka masa depan yang gemilang, berdikari dan mampu menyumbang bakti untuk agama, bangsa dan negara.
Kepada insan yang mengambil tanggungjawab terhadap anak yatim, Allah memberi jaminan istimewa dengan janji syurga di akhirat, dan kedudukan yang teragung bersama kekasihNya Junjungan Nabi Muhammad SAW.
Bersegeralah kita menghulur tangan, menyumbang tenaga membantu anak yang telah hilang kasih ayah ini, sebuah kehidupan anak yang amat mendambakan titisan kasih dan bantuan
Bersama-sama kita membina masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak yatim.
Al-Baqarah : 83
Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.
Riwayat Muslim, (2983)
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksud: “Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi SAW mengisyaratkan dengan dua jari baginda SAW) di syurga.”
Bersama-sama kita membina masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak yatim.
Sertai kami sebagai :-
Ahli PEYATIM
Keahlian PEYATIM terbuka kepada pertubuhan-pertubuhan atau badan-badan berdaftar yang memberi khidmat kebajikan kepada anak-anak yatim Islam di Malaysia. Permohonan menjadi ahli hendaklah mengemukakan surat / borang yang ditandatangani oleh Pengerusi dan Setiausahanya dan dimajukan kepada Setiausaha Agung PEYATIM. Bayaran bagi menjadi ahli PEYATIM adalah RM 200.00 dan yuran tahunan RM50.00.
Ahli Bersekutu / Sahabat PEYATIM
Keahlian sebagai Ahli Bersekutu / Sahabat PEYATIM terbuka kepada warga negara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang berminat menyumbang tenaga dan kepakaran secara sukarela untuk mencapai tujuan-tujuan PEYATIM. Yuran keahlian Ahli Bersekutu / Sahabat PEYATIM adalah RM10 seumur hidup. Sahabat PEYATIM ini diketuai dan dipimpin oleh seorang pengerusi yang dilantik oleh PEYATIM.
Rakan Korporat Prihatin
PEYATIM mempelawa mana-mana institusi korporat untuk menjadi Rakan Korporat Prihatin kepada PEYATIM untuk sama-sama menyumbang dalam menjayakan matlamat PEYATIM. Rakan Korporat Prihatin boleh menyumbang secara berkala kepada PEYATIM sama ada dalam bentuk tunai, barangan ataupun perkhidmatan. Sebagai rakan korporat prihatin anda layak menerima pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Infaq / Sumbangan
PEYATIM menerima individu, kumpulan atau syarikat untuk Berinfaq atau berwaqaf sama ada dalam bentuk, Tanah, Harta, Tunai, Barangan, Ilmu dan Kepakaran.
Penyumbang Tunai
PEYATIM mempelawa individu, kumpulan atau syarikat untuk menginfaqkan tunai bagi membantu PEYATIM melaksanakan program-program kebajikan, pendidikan, pembanguan sahsiah, aktiviti sosial dan rekreasi untuk anak-anak yatim sama ada yang tinggal di asrama-asrama gabungan mahupun yang tinggal bersama waris masing-masing. Sebagai penyumbang tunai anda layak menerima pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Penyumbang Kepakaran / Ilmu
PEYATIM mempelawa individu, kumpulan atau syarikat yang mempunyai kepakaran / ilmu. Ini dapat membantu anak-anak yatim dari segi Kebajikan, Kesihatan, Pendidikan Al-Quran, Pendidikan, sosial dan akhlak. Pengkongsian kepakaran ini akan dapat membantu pembangunan anak-anak yatim di seluruh Malaysia.
Penyumbang Barangan
PEYATIM mempelawa individu, kumpulan atau syarikat untuk menginfaqkan barangan kepada anak-anak yatim sama ada dalam bentuk barangan makanan, pakaian, peralatan pembelajaran, tempat tinggal, peralatan pentadbiran ataupun kenderaan untuk keperluan anak-anak yatim yang tinggal di asrama-asrama gabungan PEYATIM.
